KUALA LUMPUR 2 Mac - Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) berdepan cabaran besar untuk mengimbangi peruntukan perbelanjaan modal sebanyak RM50 bilion hingga RM55 bilion setahun dalam tempoh lima tahun akan datang sambil turut menjamin pengeluaran dan membayar dividen kepada kerajaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Shamsul Azhar Abbas menyifatkan perbelanjaan modal untuk menggantikan kemudahan usang bagi pertumbuhan masa depan memberikan cabaran yang besar kepada syarikat itu.
Katanya: ''Selain pelaburan itu, Petronas juga perlu memastikan pengeluaran rizab minyak tidak menyusut supaya pendapatan tidak terjejas dan bekalan terjamin.
''Pada masa yang sama, Petronas juga mengekalkan pemberian dividen sebanyak RM30 bilion kepada Kerajaan Malaysia. Inilah cabaran besar dihadapi oleh Petronas pada masa depan,'' kata Shamsul Azhar.
Beliau menambah, kenaikan minyak di pasaran sejagat bukan berita menggembirakan buat Petronas yang kini perlu mengutamakan peningkatan keupayaan aset-aset sedia ada.
''Kerugian akibat kebakaran di loji dan paip milik Petronas menyebabkan kami mengalami kerugian besar dan masalah ini perlu ditangani segera,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi kewangan suku ketiga 2010/2011 di Menara Petronas di sini hari ini.
Terdahulu pada sidang itu, Shamsul Azhar berkata, lebih 60 peratus pengeluaran medan minyak utama di Malaysia berusia pada purata 26 tahun dan lebih 60 peratus kompleks LNG Petronas di Bintulu dalam usia 21 tahun.
Kilang penapisan Petronas di Kertih, Melaka dan ENGEN pula sudah melewati 28 tahun dan lebih 25 peratus loji petrokimia Petronas berusia 19 tahun.
Mengulas lanjut, Shamsul Azhar berkata, Petronas terus memerlukan disiplin yang tinggi untuk mengekalkan margin keuntungan jangka panjang dalam memenuhi keperluan perbelanjaan modalnya.
Katanya: ''Perbelanjaan modal didatangkan daripada pendapatan operasi dan kita tidak perlu meminjam kecuali perlu kerana imbangan kira-kira Petronas begitu kukuh.
''Apa yang penting pengagihan dividen mesti dilakukan secara sempurna dan mengambil kira keutamaan perbelanjaan modal,'' tambah beliau.
Pada sidang akhbar itu, Shamsul Azhar mengumumkan syarikat minyak negara mencatatkan keuntungan suku ketiga berjumlah RM23.7 bilion, naik 74.3 peratus berbanding RM13.6 bilion tempoh yang sama pada 2009/2010. Keuntungan itu disumbangkan oleh hasil pendapatan suku tersebut yang berjumlah RM60 bilion.
Bagi tempoh sembilan bulan, keuntungan yang diperoleh adalah RM69.4 bilion naik 14.3 peratus berbanding RM60.7 bilion manakala pendapatan pula berjumlah RM175.6 bilion berbanding RM151.6 bilion sebelumnya.
Shamsul Azhar berkata, prestasi baik itu dipacu oleh kenaikan harga minyak mentah dan jumlah dagangan tetapi pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat memberikan impak yang negatif kepada Petronas.
Katanya, syarikat itu berada di landasan betul untuk mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM80 bilion yang disasarkan sebelum ini sambil membayangkan prestasi suku keempat yang lebih kukuh.Pada suku ketiga, Petronas mengeluarkan sebanyak 2.13 juta tong minyak sehari, lebih rendah berbanding 2.18 juta tong tahun sebelumnya disebabkan pengeluaran minyak yang semakin merosot.
Shamsul Azhar juga berkata, Petronas tidak bercadang menyenaraikan anak-anak syarikatnya lagi selepas Petronas Chemical Group Bhd. dan Marine and Heavy Engineering Bhd.
''Saya rasa cukuplah kerana kita sudah menyenaraikan dua syarikat dalam tempoh yang singkat,'' tambah beliau yang turut mengumumkan perubahan tahun kewangan setahun penuh berakhir 31 Disember setiap tahun berkuatkuasa mulai 1 April ini.
Katanya, penyelarasan itu seiring dengan keperluan berkanun negara-negara yang menjadi operasi Petronas.
''Jadi, untuk tahun ini, tahun kewangan Petronas hanya sembilan bulan sahaja,'' kata beliau.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment